~ Sharing Is Caring ~

Posts Tagged ‘Kehidupan

Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah terdapat satu linkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup. Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya. Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil pungutan mangga yang diperolehi.

Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana ‘galah pendek’ yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.

Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.

Setelah selesai memungut semua mangga-mangga maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar memperoleh tiga bakul.

Pemilik kebun memberikan pemuda pertama upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan. Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda kedua berbanding pemuda pertama.

PEMUDA KETIGA YANG KALAH

Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.

Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dasyat jika diletakkan Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.

Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan selepas mati dan bukan di alam ini.

Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam selepas kematian perlu untuk itu.

Bicara tentang fungsi.

Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. [az-Zariyat 51:56]

Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya. Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.‘Passing mark’nya pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya. Semua telah ‘dibocorkan’ oleh Allah Subhana wa Ta’ala di dalam firmannya:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah 2:155-156]

Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa, segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan ‘markah’ sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan, harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita, tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!

Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia. Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]

Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak sihat mampu menggapainya.

BAGAIMANA IBADAT SI MISKIN MAMPU SETANDING SI KAYA?

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, katanya:

Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka bekata: “Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan kekal abadi.” Tanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam: “Kenapa begitu?” Jawab mereka, “Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak (mampu) memerdekakan hamba. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat memperoleh pahala orang-orang terdahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? dan tidak ada yang lebih utama daripada kamu melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu” Mereka menjawab: “Baiklah, wahai Rasulullah.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas solat 33 kali.” Berkata Abu Shalih: Orang-orang miskin dari kaum Muhajirin kembali kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan, maka mereka melakukan hal yang serupa.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” [Sahih Muslim – no: 595]

Dalam menghuraikan maksud dan faedah-faedah hadis di atas, ulamak memberikan pelbagai interpretasi. Antara interpretasinya adalah bahawa sebenarnya setiap pihak di dalam hadis tersebut mempunyai kelebihan. Yang kaya dengan kelebihan amalan yang disebutkan di atas, ibadah bersifat harta dan tentu sekali disertakan dengan ujian kesyukuran. Yang miskin pula dengan kelebihan menjadi sebab terdedahnya amalan penuh berkat tersebut kerana mereka bertanya. Bukankah bagi mereka yang memulakan kebaikan, dia memperoleh pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mencontohinya? Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. [Sahih Muslim – no: 1017]

Dan tentu sekali kemiskinan mereka itu disertai dengan ujian kesabaran terhadap kesukaran hidup. Kedua kelompok mempunyai kelebihan dan ujian mereka tersendiri.

Begitulah Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa adil. Setiap manusia tidak kira apapun keadaan mereka sentiasa ada ruang untuk mencapai redha-Nya dan memperoleh ganjaran terbaik buat akhirat.

Kita bukanlah dizalimi sekiranya dihinggapi penyakit kronik, miskin, kurang upaya dan sebagainya. Tetapi sebenarnya diuji. Dan dalam ujian berat itu ada ruang yang boleh kita gunakan untuk menggapai redha Tuhan. Yang mungkin ruang tersebut tak mampu ditemui orang yang tidak ditimpa masalah seperti kita.

alFaisal Cyberjaya

24 Disember 2007 / 14 Zulhijjah 1428

7.30 am

http://demipena.blogspot.com/

Advertisements
Tags:

Dipetik dari http://haziefa.wordpress.com/2008/02/07/pencuri-impian/#comment-15

Di sebuah kota, ada seorang gadis muda yang sangat suka menari. Kepandaiannya menari sangat terserlah dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, sehinggakan dia seringkali menjadi juara dalam pelbagai pertandingan yang diadakan. Dia berfikir, dengan bakat yang dimilikinya saat ini, suatu hari nanti apabila dewasa, dia ingin menjadi penari bertaraf dunia. Dia membayangkan dirinya menari di Russia, China, Amerika, Jepun, serta ditonton oleh ribuan penonton yang memberi tepukan gemuruh kepadanya.

Suatu hari, kotanya dikunjungi seorang pakar tari yang berasal dari luar negara. Pakar ini sangatlah hebat. Dari tangan dinginnya telah banyak dilahirkan penari-penari kelas dunia. Gadis muda ini ingin sekali menari dan menunjukkan kebolehannya di depan sang pakar tersebut, malah jika boleh memperoleh kesempatan menjadi muridnya.

Akhirnya kesempatan itu datang juga. Si gadis muda berjaya menemui sang pakar di belakang panggung, seusai sebuah persembahan tari. Si gadis muda bertanya: “Tuan, saya ingin sekali menjadi penari kelas dunia. Apakah tuan punya waktu sejenak, untuk menilai saya menari? Saya ingin tahu pendapat tuan tentang tarian saya”. “Okey, menarilah di depan saya selama 10 minit”, jawab sang pakar.

Belum lagi 10 minit berlalu, sang pakar berdiri dari kerusinya, lalu berlalu meninggalkan si gadis muda begitu saja, tanpa mengucapkan sepatah kata apa pun.

Betapa hancur si gadis muda melihat sikap sang pakar. Si gadis terus berlari keluar. Pulang ke rumah, dia menangis tersedu-sedu. Dia menjadi benci terhadap dirinya sendiri. Ternyata tarian yang selama ini dia bangga-banggakan tidak ada maknanya di hadapan sang pakar. Kemudian dia ambil kasut tarinya, lalu dilemparkan ke dalam gudang. Sejak saat itu, dia bersumpah tidak akan menari lagi.

Puluhan tahun berlalu. Sang gadis muda kini telah menjadi ibu dengan tiga orang anak. Suaminya telah meninggal. Dan untuk menyara keluarganya, dia bekerja menjadi pelayan di sebuah kedai di sudut jalan.

Suatu hari, ada sebuah persembahan tari yang diadakan di kota itu. Nampak sang pakar berada di antara para menari muda di belakang panggung. Sang pakar nampak tua, dengan rambutnya yang sudah putih. Si ibu muda dengan tiga anaknya juga datang ke persembahan tari tersebut. Selesai acara, ibu ini membawa ketiga anaknya ke belakang panggung, mencari sang pakar, dan memperkenalkan ketiga anaknya kepada sang pakar.

Sang pakar masih mengenali ibu muda ini, dan kemudian mereka bercerita secara akrab. Si ibu bertanya, “Tuan, ada satu pertanyaan yang tersimpan di hati saya iaitu tentang penampilan saya sewaktu menari di hadapan tuan bertahun-tahun yang silam. Sebegitu terukkah penampilan saya saat itu, sehingga tuan terus pergi meninggalkan saya begitu saja, tanpa berkata sepatah pun?”

“Oh ya, saya ingat peristiwa itu. Terus terang, saya belum pernah melihat tarian seindah yang kamu lakukan waktu itu. Saya rasa kamu akan menjadi penari kelas dunia. Saya tidak mengerti mengapa kamu tiba-tiba berhenti dari dunia tari”, jawab sang pakar.

Si ibu muda sangat terkejut mendengar jawapan sang pakar. “Ini tidak adil”, seru si ibu muda. “Sikap tuan telah mencuri semua impian saya. Kalau memang tarian saya bagus, mengapa tuan meninggalkan saya begitu saja ketika saya baru menari beberapa minit. Tuan seharusnya memuji saya, dan bukan mengacuhkan saya begitu saja. Jika tidak, pasti sekarang saya sudah menjadi penari bertaraf dunia. Bukan hanya menjadi pembantu kedai.”

Si pakar menjawab lagi dengan tenang “Tidak …. tidak, saya rasa saya telah berbuat yang sepatutnya. Anda tidak semestinya minum anggur satu barel untuk membuktikan anggur itu enak. Demikian juga saya. Saya tidak harus menonton anda 10 minit untuk membuktikan tarian anda bagus. Malam itu saya sangat lelah setelah pertunjukan pentas. Maka sejenak saya tinggalkan anda, untuk mengambil kad nama saya, dan berharap anda mahu menghubungi saya lagi keesokan hari. Tapi anda sudah pergi ketika saya keluar. Dan satu hal yang perlu anda fahami, bahawa anda sepatutnya fokus pada impian anda, bukan pada ucapan atau tindakan saya.“

“Dan pujian? Kamu mengharapkan pujian? Ah, waktu itu kamu sedang belajar. Pujian itu seperti pedang bermata dua. Ada kalanya memotivasikanmu, namun boleh juga melemahkanmu. Dan faktanya saya melihat bahawa sebahagian besar pujian yang diberikan pada saat seseorang sedang belajar, hanya akan membuat dirinya puas dan pertumbuhannya berhenti. Oleh itu, saya lebih suka mengacuhkanmu, agar hal itu dapat membuatmu memajukan diri lebih cepat lagi. Lagipun, pujian itu seharusnya datang dari keinginan saya sendiri. Anda tidak sewajarnya meminta pujian dari orang lain.“

“Anda lihat, ini sebenarnya hanyalah masalah remeh. Seandainya anda pada waktu itu tidak menghiraukan apa yang terjadi dan tetap menari, mungkin hari ini anda sudah menjadi penari kelas dunia.”

Mungkin anda sakit hati pada waktu itu, tapi sakit hati anda akan cepat hilang setelah anda berlatih kembali. Tapi sakit hati kerana penyesalan anda hari ini tidak mungkin hilang selama-lamanya.”

Berapa umur anda ketika ini? 25 tahun, 35 tahun, 45 tahun atau bahkan 60 tahun… Berapa lama telah anda melalui kehidupan anda? Berapa lama lagi sisa waktu anda untuk menjalani kehidupan?

 

Tidak ada seorang pun yang tahu bila kita akan mengakhiri hidup ini. Matahari terbit dan kokok ayam menandakan pagi telah tiba. Waktu untuk kita bersiap menjalankan tugas, sebagai karyawan, sebagai pelajar, sebagai seorang professional, dll. Kita memulai hari yang baru. Jalan yang semakin sesak dirasakan membuat kita semakin tegang menjalani kehidupan.

 

Terlambat sampai di pejabat, itu perkara biasa. Pekerjaan menompok, tugas dari boss membuat kepala pusing, sikap anak buah yang tidak memuaskan, dan banyak problematika pekerjaan harus kita hadapi di pejabat.

 

Tak terasa, tengahari melambai… Waktu istirehat.. makan-makan.. Perut lapar, membuat manusia sukar berfikir.

 

Otak serasa buntu. Pekerjaan menjadi semakin berat untuk diselesaikan. Matahari sudah berada tepat diatas kepala. Panas betul hari ini… Akhirnya masa istirehat selesai, waktunya kembali bekerja…

 

Perut kenyang, membuat kita bukannya semangat bekerja malah ngantuk. Aduh tapi pekerjaan…. ahhhhh!!! masih banyak yang belum selesai.

 

Mulai lagi kita kerja, kerja dan terus bekerja sampai akhirnya terlihat di sebelah barat… Matahari telah tersenyum seraya mengucapkan selamat berpisah. Gelap mulai menerjah…. Lelah sekali hari ini. Perjalanan pulang harus menempuh kesesakan lagi. Ahhh!! Bilakah akan saya sampai di rumah. Badan terasa letih dan otot-otot menegang Dan badan rasanya meleket dengan keringat membasahi tubuh. Nikmatnya air hangat saat mandi nanti. Segar segar…

 

Ada yang memandu kenderaan dengan cepat supaya sampai di rumah segera, dan ada yang berlarian mengejar bas bergegas ingin sampai di rumah.

 

Dinamik sekali kehidupan ini. Waktunya makan malam tiba. Isteri atau mungkin Ibu kita telah menyiapkan makanan kesukaan kita.

 

” Ohh.. ada sup ayam ” .

 

” Wah nasi ayam buatan ibu memang sedap sekali “.

 

Suami memuji masakan isterinya, atau anak memuji masakan Ibunya. Itu juga kan yang sering kita lakukan. Selesai makan, bersantai sambil menonton TV. Tak terasa heningnya malam telah tiba. Lelah menjalankan tugas hari ini, membuat kita tidur dengan lelap. Terlelap sampai akhirnya pagi kembali menjemput dan mulailah hari yang baru lagi.

 

Kehidupan… ya seperti itu lah kehidupan di mata sebahagian besar orang.

 

Bangun, mandi, bekerja, makan, dan tidur adalah kehidupan.

 

Jika pandangan kita tentang erti kehidupan sebatas itu, mungkin kita tidak ada bezanya dengan haiwan yang puas dengan dapat bernafas, makan, minum, melakukan kegiatan rutin, tidur.

 

Siang atau malam adalah sama. Hanya rutin… sampai akhirnya maut menjemput.

 

Memang itu adalah kehidupan tetapi bukan kehidupan dalam erti yang luas. Sebagai manusia jelas kita memiliki perbezaan dalam menjalankan kehidupan.

 

Kehidupan bukanlah sekadar rutin.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita mencurahkan potensi diri kita untuk orang lain.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita berbahagi suka dan duka dengan orang yang kita sayangi.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita dapat mengenal orang lain.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita melayani setiap umat manusia.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita mencintai pasangan kita, orang tua kita, saudara, serta mengasihi sesama kita.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita belajar dan terus belajar tentang erti kehidupan.

 

Kehidupan adalah kesempatan untuk kita selalu mengucap syukur kepada Yang Maha Kuasa .. Kehidupan adalah … dll.

 

Begitu banyak Kehidupan yang dapat kita jalani.

 

Berapa tahun anda telah melalui kehidupan anda ?

 

Berapa tahun anda telah menjalani kehidupan rutin anda?

 

Akankah sisa waktu anda sebelum ajal menjemput hanya anda korbankan untuk sebuah rutin belaka ?

 

Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput, mungkin 5 tahun lagi, mungkin 1 tahun lagi, mungkin sebulan lagi, mungkin besok, atau mungkin 1 minit lagi.

 

Hanya Tuhanlah yang tahu…

 

Pandanglah di sekeliling kita… ada segelintir orang yang memerlukan kita.

 

Mereka menanti kehadiran kita. Mereka menanti bantuan kita. Orang tua, saudara, pasangan, anak, sahabat dan sesama……

 

Selamat menjalani hidup yang lebih berkualiti….

Tags:

Suatu ketika seorang laki-laki beserta anaknya membawa seekor keldai ke pasar. Di tengah jalan, beberapa orang melihat mereka dan tersengih menyindir, “Lihatlah orang-orang dungu itu. Mengapa mereka tidak naik ke atas keledai itu?”

 

Laki-laki itu mendengar perkataan tersebut. Ia lalu meminta anaknya naik ke atas keledai. Seorang perempuan tua melihat mereka, “Sudah terbalik dunia ini! Sungguh anak tak tahu diri! Ia relax di atas keledai sedangkan ayahnya yang tua dibiarkan berjalan.”

 

Kali ini anak itu turun dari punggung keledai dan ayahnya yang naik. Beberapa saat kemudian mereka berselisih dengan seorang gadis muda. “Mengapa anda berdua tidak menaiki keledai itu bersama-sama?”

 

Mereka menuruti nasehat gadis muda itu. Tidak lama kemudian sekelompok orang lalu di situ. “Binatang malang…., ia menanggung beban dua orang gemuk tak berguna. Kadang-kadang orang memang sangat kejam!”

 

Sampai di sini, ayah dan anak itu sudah muak. Mereka memutuskan untuk memikul keldai itu. Melihat kejadian itu, orang-orang tertawa termengah, “Lihat, manusia kaldai memikul kaldai!” sorak mereka.

 

Jika anda berusaha memudahkan semua orang, boleh jadi anda tak akan dapat memudahkan dan menggembirakan siapa pun.

 

Adakah anda kaldai? atau manusia?. Kalau kaldai memang dia tidak banyak kerenahnya.

“Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi…Begitulah orang yang cantik jarang berbudi..”

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, “Awak ni cantiklah”, maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.

Tersipu-sipulah dia. Ah… siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa?

Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya.

Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.

Wanita yang cantik selalu ditimpa ‘perasan’ kerana sedar dirinya punya kelebihan.

Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah.

Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar d iri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam.Dimana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang.Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:

“Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya,

dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta

pertolongan.” An-Nahl:53

Wallahu a’lam…

Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang terbaik…

Ketika musim kemarau baru sahaja mula, seekor Burung Pipit mulai merasakan tubuhnya kepanasan, lalu mengeluh pada lingkungan yang dituduhnya tidak bersahabat. Dia lalu memutuskan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang konon khabarnya, udaranya selalu dingin dan sejuk.

Benar, lama kelamaan dia merasakan kesejukan udara, makin ke utara makin sejuk, dia semakin bersemangat memacu terbangnya lebih ke utara lagi.

Terbawa oleh nafsu, dia tak merasakan sayapnya yang mulai terlekat salji, makin lama makin tebal, dan akhirnya dia jatuh ke tanah kerana tubuhnya diselaputi salji. Sampai ke tanah, salji yang menyelaputi sayapnya justeru semakin bertambah tebal. Si Burung pipit tak mampu berbuat apa apa, menyangka bahawa riwayatnya telah tamat. Dia merintih menyesali nasibnya.

Mendengar suara rintihan, seekor Kerbau yang kebetulan lalu datang menghampirinya. Namun si Burung kecewa mengapa yang datang hanya seekor Kerbau, dia mengherdik si Kerbau agar menjauh dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tak mungkin mampu berbuat sesuatu untuk menolongnya. Si Kerbau tidak banyak bicara, dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat diatas burung tersebut. Si Burung Pipit semakin marah dan memaki-maki si Kerbau. Lagi-lagi Si kerbau tidak bersuara, dia maju satu langkah lagi, dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si burung. Seketika itu si Burung tidak dapat bersuara kerana tertimbun kotoran kerbau. Si Burung menjadi pasrah dan berfikir bahawa dia pasti akan mati kerana tak dapat bernafas.

Namun perlahan-lahan, dia merasakan kehangatan, salji yang membeku pada bulunya meleleh sedikit demi sedikit oleh hangatnya tahi kerbau, dia dapat bernafas lega dan melihat kembali langit yang cerah. Si Burung Pipit berteriak kegirangan, bernyanyi sepuas- puasnya.

Mendengar ada suara burung bernyanyi, seekor anak kucing menghampiri sumber suara, menghulurkan tangannya, mengais tubuh si burung dan kemudian menimang-nimang, menjilati, mengelus dan membersihkan sisa-sisa salji yang masih melekat pada bulu si burung. Setelah bulunya bersih, Si Burung bernyanyi dan menari kegirangan, dia berfikir telah mendapatkan teman yang ramah dan baik hati.

Namun apa yang terjadi kemudian, seketika itu juga dunia terasa gelap gelita bagi si Burung, dan tamatlah riwayat si Burung Pipit ditelan oleh si Kucing.

Dari kisah ini, banyak pesanan moral yang dapat dimanfaatkan sebagai pelajaran:

Halaman tetangga yang nampak lebih hijau, belum tentu sesuai buat kita. Baik dan buruknya penampilan, jangan dijadikan sebagai satu- satunya ukuran. Apa yang pada mulanya terasa pahit dan tidak enak, kadang kadang boleh berbalik membawa hikmah yang menyenangkan, dan demikian pula sebaliknya. Ketika kita baru sahaja mendapat kenikmatan, jangan lupa dan jangan terburu nafsu, agar tidak menyesal kelak. Waspadalah terhadap Orang yang memberikan janji yang berlebihan.

P/S: Bukankah ALLAH ada berpesan dalam  Al-Quran..barangkali yang  kita suka itu tak elok buat kita, dan barangkali yang kita benci itu sebenarnya yang terbaik untuk kita…

Sama-samalah kita beringat, supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi…

Oleh Salina Abdullah

JARANG-JARANG rasanya dapat melihat lelaki menitiskan air mata tetapi hakikatnya, mereka juga menangis. Mungkin ramai lelaki, yang egonya keterlaluan, menafikannya kenyataan ini tetapi usahlah membuang masa, sudah terang lagi mahu bersuluh, lelaki juga menangis!

Ramai lelaki tidak mahu mengakui yang hati mereka mudah tersentuh, mata mudah bergenang, senang terasa sebak lalu menitiskan air mata kerana kononnya lelaki yang menangis, tidak macho (tidak jantan). Relevankah?

Cuba kita perhatikan sekeliling, tidak perlu jauh, perhatikan bapa atau datuk, abang juga adik lelaki, paling tidak teman lelaki atau suami, betapa mudah juga mereka berasa sebab, menitiskan air mata, petanda mereka juga manusia biasa, tiada yang luar biasa, ada emosi, punya rasa.

“Lelaki yang kata mereka tidak menangis kerana kononnya kalau menangis tidak macho, pada saya mereka ‘bodoh’. Hal emosi, suka, gembira, duka, apatah lagi menangis tiada kena-mengena dengan soal macho, kejantanan atau kelakian.

“Lelaki juga ada hak dan berhak menangis. Ia membabitkan hal keperimanusiaan, soal hati dan perasaan, tidak kira yang gembira atau menyedihkan,” kata Azhar Khairuddin, 46.

Azhar yang bertugas sebagai Pengarah Urusan mengakui dia seorang lelaki yang amat mudah menitiskan air mata. Hal membabitkan kanak-kanak juga orang tua amat mudah membuat hatinya tersentuh dan tanpa disedari air mata menitis membasahi pipi.

Bagi Azhar, sifatnya itu bukan sesuatu yang memalukan malah dia bangga berperasaan begitu kerana ia menandakan ia seorang manusia yang sensitif dan berhati perut.

“Kisah kanak-kanak didera dan orang tua yang dihantar ke pusat penjagaan orang tua paling mudah membuat saya sebak. Saya sering bertanya pada diri sendiri manusia bagaimana yang sanggup menganiaya dan mendera kanak-kanak begitu kejam dan anak bagaimana yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua.

“Pada saya, jawapan mahukan ibu bapa mendapat penjagaan lebih baik di rumah orang tua langsung tidak boleh diterima. Kita sebagai anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa sampai bila-bila sebagaimana ibu bapa menjaga kita kalan senang mahupun susah,” katanya yang pernah ‘memukul’ adiknya gara-gara meninggikan sedikit suara ketika bercakap dengan ibu satu ketika dulu.

Selain isu kanak-kanak dan orang tua, Azhar yang pernah mengetuai misi bantuan kemanusiaan pemuda Umno di Afghanistan beberapa tahun lalu, juga mudah tersentuh dalam perkara berkaitan semangat patriotisme.

Penulis yang juga mengikuti misi berkenaan bersama Azhar, menyaksikan ‘kelembutan’ hati beliau dengan mata kepala sendiri. Dalam semangat berkobar menyanyikan lagu Negaraku, air matanya meleleh membasahi pipi.

Satu perkara yang lebih menggelikan hati mengenai Azhar, dia juga tidak boleh mendengar apatah lagi menyanyikan lagu raya bertajuk Satu hari di Hari Raya nyanyian bertajuk M Nasir.

“Terutama liriknya yang berbunyi Ku lihat wajah suci ibuku, Ku lihat wajah kasih ayahku, Ku gembira, Mungkin inilah dia kebahagiaan, ia benar-benar menyentuh hati saya,” katanya yang juga menitiskan air mata tiap kali takbir raya bergema.

Jurutera, Rashdan Rosli, 37, juga seperti Azhar. Tidak langsung terfikir kelelakiannya tercabar hanya kerana tidak lokek menitiskan air mata.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sensitif, Rashdan bukan saja menangis ketika sedih malah saat gembira juga mampu membuatkan beliau menitiskan air mata.

“Saya menangis sedih paling teruk ketika datuk meninggal dunia pada 1997 dulu. Saya amat rapat dengannya dan pemergiannya membuatkan saya rasa kehilangan sesuatu yang amat berharga.

“Saya juga menangis gembira ketika lulus ujian kejuruteraan dulu. Terlalu gembira. Kesimpulannya, tidak bermakna apabila lelaki menangis, lelaki itu tak kuat, tak ‘jantan’, tak macho, cuma hati tersentuh dengan sesuatu kejadian,” katanya yang mudah menitiskan air melihat kanak-kanak dianiaya dan didera.

Nyata Azhar dan Rashdan manusia normal jika melihat pada penjelasan pakar psikiatri University of Minnesota, Dr William Frey seperti dipetik daripada Wikipedia.

Katanya, dalam soal menangis, tiada beza antara lelaki dan wanita. lelaki dan wanita mengalami tekanan emosi yang serupa dan lelaki seperti wanita juga berhak untuk menangis supaya jiwanya tidak tertekan.

Cuma, katanya, lelaki sengaja menahan air matanya supaya tampak perkasa dan jantan. Ia berkaitan dengan cara didikan. lelaki diajar tidak boleh menangis, mereka harus menahan rasa sedih dan menitiskan air mata.

“Kalau perempuan menangis, ia perkara biasa. Anggapan ini semua hanyalah satu budaya, yang diamalkan turun-temurun. Hakikatnya, lelaki juga menangis apabila berlaku sesuatu yang menyentuh hati mereka. Malah, dalam keadaan tertentu, mereka boleh menangis tersedu-sedu seperti anak kecil,” katanya.

Oleh itu, lelaki, jejaka sekalian, jangan takut untuk menangis. Ia perkara yang perlu dilakukan. Buat apa menahan sedih hingga terasa sebab di dada. takut dianggap lembik, tidak macho oleh wanita? Jangan! Itu tindakan dan andaian yang salah.

INFO: Menangis

Menangis adalah satu akitiviti normal manusia. Tidak kira anda lelaki atau wanita, kedua-duanya mempunyai hak yang sama untuk berasa sedih hingga menitiskan air mata.

Ada bermacam-macam jenis `menangis dan semuanya mempunyai kaitan dengan faktor psikologi, kimia dan komposisi hormon. Mata juga boleh bergenang, berair dan merembeskan air mata ketika memotong bawang umpamanya; air mata meleleh ketika mengalami saat sukar atau sekadar mengimbas kembali kenangan dan pengalaman pahit.

Air mata yang bergenang adakalanya diikuti dengan tangisan yang lebih kuat hingga tersedu-sedu seperti kanak-kanak. Kajian menunjukkan ramai yang tertekan berasa lega selepas menangis begini. Inilah yang dikatakan ‘tangisan yang berkesan’, memberi kesan yang baik pada emosi seseorang sebagaimana ketawa.

Sumber: http://www.emotionalprocessing.org.uk


Add to Technorati Favorites

Kalendar

November 2017
M T W T F S S
« Jan    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Sabda Rasulullah s.a.w

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berfirman: ” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Riwayat Bukhari & Muslim

Categories

Top Clicks

  • None

Pengunjung Terkini

Recent Readers

View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile
My Popularity

Bilangan Pembaca

  • 163,982 orang pembaca

Khazanah