~ Sharing Is Caring ~

Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.

 

Firman Allah yang bermaksud:Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina (Al-Mukmin:60)

 

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

 

Imam Al-Ghazali berkata : Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.

 

Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

 

Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.

 

Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :

 

 

1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dosa.

 

2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

 

3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

 

4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.

 

5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

 

6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

 

 

Wassalam

 

 

 

Ya Allah..hiasilah kami dengan sifat mahmudah.. dan jauhkan kami dari sifat mazmumah

 

Ya Allah tetapkanlah hati kami dan janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami

 

Amin……

Advertisements

Dipetik dari http://haziefa.wordpress.com/2008/02/07/pencuri-impian/#comment-15

Di sebuah kota, ada seorang gadis muda yang sangat suka menari. Kepandaiannya menari sangat terserlah dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, sehinggakan dia seringkali menjadi juara dalam pelbagai pertandingan yang diadakan. Dia berfikir, dengan bakat yang dimilikinya saat ini, suatu hari nanti apabila dewasa, dia ingin menjadi penari bertaraf dunia. Dia membayangkan dirinya menari di Russia, China, Amerika, Jepun, serta ditonton oleh ribuan penonton yang memberi tepukan gemuruh kepadanya.

Suatu hari, kotanya dikunjungi seorang pakar tari yang berasal dari luar negara. Pakar ini sangatlah hebat. Dari tangan dinginnya telah banyak dilahirkan penari-penari kelas dunia. Gadis muda ini ingin sekali menari dan menunjukkan kebolehannya di depan sang pakar tersebut, malah jika boleh memperoleh kesempatan menjadi muridnya.

Akhirnya kesempatan itu datang juga. Si gadis muda berjaya menemui sang pakar di belakang panggung, seusai sebuah persembahan tari. Si gadis muda bertanya: “Tuan, saya ingin sekali menjadi penari kelas dunia. Apakah tuan punya waktu sejenak, untuk menilai saya menari? Saya ingin tahu pendapat tuan tentang tarian saya”. “Okey, menarilah di depan saya selama 10 minit”, jawab sang pakar.

Belum lagi 10 minit berlalu, sang pakar berdiri dari kerusinya, lalu berlalu meninggalkan si gadis muda begitu saja, tanpa mengucapkan sepatah kata apa pun.

Betapa hancur si gadis muda melihat sikap sang pakar. Si gadis terus berlari keluar. Pulang ke rumah, dia menangis tersedu-sedu. Dia menjadi benci terhadap dirinya sendiri. Ternyata tarian yang selama ini dia bangga-banggakan tidak ada maknanya di hadapan sang pakar. Kemudian dia ambil kasut tarinya, lalu dilemparkan ke dalam gudang. Sejak saat itu, dia bersumpah tidak akan menari lagi.

Puluhan tahun berlalu. Sang gadis muda kini telah menjadi ibu dengan tiga orang anak. Suaminya telah meninggal. Dan untuk menyara keluarganya, dia bekerja menjadi pelayan di sebuah kedai di sudut jalan.

Suatu hari, ada sebuah persembahan tari yang diadakan di kota itu. Nampak sang pakar berada di antara para menari muda di belakang panggung. Sang pakar nampak tua, dengan rambutnya yang sudah putih. Si ibu muda dengan tiga anaknya juga datang ke persembahan tari tersebut. Selesai acara, ibu ini membawa ketiga anaknya ke belakang panggung, mencari sang pakar, dan memperkenalkan ketiga anaknya kepada sang pakar.

Sang pakar masih mengenali ibu muda ini, dan kemudian mereka bercerita secara akrab. Si ibu bertanya, “Tuan, ada satu pertanyaan yang tersimpan di hati saya iaitu tentang penampilan saya sewaktu menari di hadapan tuan bertahun-tahun yang silam. Sebegitu terukkah penampilan saya saat itu, sehingga tuan terus pergi meninggalkan saya begitu saja, tanpa berkata sepatah pun?”

“Oh ya, saya ingat peristiwa itu. Terus terang, saya belum pernah melihat tarian seindah yang kamu lakukan waktu itu. Saya rasa kamu akan menjadi penari kelas dunia. Saya tidak mengerti mengapa kamu tiba-tiba berhenti dari dunia tari”, jawab sang pakar.

Si ibu muda sangat terkejut mendengar jawapan sang pakar. “Ini tidak adil”, seru si ibu muda. “Sikap tuan telah mencuri semua impian saya. Kalau memang tarian saya bagus, mengapa tuan meninggalkan saya begitu saja ketika saya baru menari beberapa minit. Tuan seharusnya memuji saya, dan bukan mengacuhkan saya begitu saja. Jika tidak, pasti sekarang saya sudah menjadi penari bertaraf dunia. Bukan hanya menjadi pembantu kedai.”

Si pakar menjawab lagi dengan tenang “Tidak …. tidak, saya rasa saya telah berbuat yang sepatutnya. Anda tidak semestinya minum anggur satu barel untuk membuktikan anggur itu enak. Demikian juga saya. Saya tidak harus menonton anda 10 minit untuk membuktikan tarian anda bagus. Malam itu saya sangat lelah setelah pertunjukan pentas. Maka sejenak saya tinggalkan anda, untuk mengambil kad nama saya, dan berharap anda mahu menghubungi saya lagi keesokan hari. Tapi anda sudah pergi ketika saya keluar. Dan satu hal yang perlu anda fahami, bahawa anda sepatutnya fokus pada impian anda, bukan pada ucapan atau tindakan saya.“

“Dan pujian? Kamu mengharapkan pujian? Ah, waktu itu kamu sedang belajar. Pujian itu seperti pedang bermata dua. Ada kalanya memotivasikanmu, namun boleh juga melemahkanmu. Dan faktanya saya melihat bahawa sebahagian besar pujian yang diberikan pada saat seseorang sedang belajar, hanya akan membuat dirinya puas dan pertumbuhannya berhenti. Oleh itu, saya lebih suka mengacuhkanmu, agar hal itu dapat membuatmu memajukan diri lebih cepat lagi. Lagipun, pujian itu seharusnya datang dari keinginan saya sendiri. Anda tidak sewajarnya meminta pujian dari orang lain.“

“Anda lihat, ini sebenarnya hanyalah masalah remeh. Seandainya anda pada waktu itu tidak menghiraukan apa yang terjadi dan tetap menari, mungkin hari ini anda sudah menjadi penari kelas dunia.”

Mungkin anda sakit hati pada waktu itu, tapi sakit hati anda akan cepat hilang setelah anda berlatih kembali. Tapi sakit hati kerana penyesalan anda hari ini tidak mungkin hilang selama-lamanya.”

Oleh Diyanah Anuar
Petikan dari akhbar sisipan Ikon

Mengapa remaja `menghalalkannya’? Di era kemajuan kini, ramai yang lebih terbuka dalam membicarakan perihal seks dari pelbagai sudut dan perspektif walaupun masih ada yang menganggap ia sesuatu yang ‘taboo’ (pantang) dan tidak manis diperkatakan, terutamanya oleh mereka yang belum berkahwin.Lupakan sejenak perbezaan kedua-dua pendapat ini kerana realitinya, semakin ramai remaja terbabit dalam aktiviti seks luar nikah dewasa ini.

Mengikut Tinjauan Seks Sejagat Durex 2004 – membabitkan 350,000 responden dari 41 negara – secara purata, seseorang mula melakukan hubungan seks buat pertama kali – hilang dara atau teruna – antara usia 16 tahun dan 20 tahun atau purata usia 17.7 tahun.

Remaja Malaysia? Secara purata, remaja Malaysia melakukan seks kali pertama pada usia 19.3 tahun berbanding 20 tahun pada 2001 sedangkan kajian Persekutuan Persatuan-persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (PPPKM) mendapati usia sesuai untuk berkahwin di Malaysia bagi lelaki adalah 28 tahun dan 25 tahun bagi perempuan berbanding masing-masing 21 tahun dan belasan tahun, dulu.

Sukar untuk mempercayai perkara sedemikian berlaku di kalangan masyarakat yang membesarkan anak kecil mereka dengan gambaran bahawa seks adalah satu perkara yang ‘tidak baik’ melainkan adanya ikatan perkahwinan antara dua pasangan lelaki dan perempuan.

Adakah remaja hari ini tidak menerima lagi pandangan dan `didikan’ ini hanya kerana dunia dan masyarakat semakin moden, dunia tanpa sempadan dan globalisasi yang penuh mencabar?

Tidakkah mereka memikirkan masa depan yang akan gelap jika hamil sebelum berkahwin? Apakah yang akan terjadi pada persekolahan atau kerjaya mereka? Sekolah terbiar, kerjaya tergugat.

Belum lagi mengambil kira malu pada diri, keluarga dan masyarakat. Sanggup dibuang keluarga kerana menconteng arang ke muka mereka semata-mata kerana mengikut nafsu? Sanggup `dibelasah’ kerana merosakkan anak gadis orang? Pendek kata, dunia akan `tunggang-terbalik’!

Kebanyakan remaja yang terbabit dalam hubungan seks ini menyedari bahawa perbuatan mereka itu salah, tetapi rela membiarkan nafsu menguasai diri berbanding akal fikiran yang waras.

Ada juga yang terbabit dalam seks luar nikah ini memberi pelbagai alasan – seperti tekanan hidup – untuk `menghalalkan’ perbuatan mereka.

Bukan itu saja, ada yang melakukan seks oral (hubungan seks yang membabitkan mulut dan alat sulit saja) dengan anggapan bahawa ia ‘ringan’ dan tidak akan menyebabkan kehamilan.

Harus diingat, biarpun tidak menyebabkan kehamilan, ia masih berisiko untuk menyebarkan penyakit kelamin, herpes, sifilis dan hepatitis, sama seperti hubungan seks secara langsung.

Ramai remaja juga menerima perlakuan `intim’ seperti berpeluk, bercium atau seks antara pasangan kekasih, sebagai sesuatu yang normal.

Pihak berkaitan, terutama ibu bapa harus memandang serius perkara ini. Melihatkan peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah dan pengguguran bayi, remaja seharusnya didedahkan mengenai keburukan perbuatan ini pada fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual kepada pelakunya.

Pakar Psikologi dan Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan Kesihatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Dr Sarinah Low Abdullah berkata, sesetengah ibu bapa tidak menitikberatkan pendidikan seks kepada anak-anak sehingga menyebabkan anak-anak itu berusaha mendapatkan maklumat yang ‘tidak selamat’ daripada sumber lain seperti rakan, buku, majalah, laman web atau cakera padat video (vcd) lucah.

Katanya, anak-anak ini harus diberi pendidikan nilai dan spiritual, yang akan membantu menjadi benteng menangani gejala tidak sihat.

“Tanpa nilai ini, remaja akan memudah `tergoda’ dengan pujuk rayu dan ajakan untuk melakukan perkara tidak baik kerana tiada disiplin dan prinsip yang kukuh untuk dipegang,” katanya.

Hubungan kekeluargaan yang erat juga mampu menghindarkan golongan remaja daripada melakukan perkara yang negatif dan pada masa yang sama, remaja juga harus berfikir dengan lebih rasional dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya yang tidak baik.

30 peratus remaja `terjebak’…

i-Kon turut menjalankan kajian mengenai isu ini. Kajian ini membabitkan 100 remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, berusia lingkungan 15 tahun ke 30 tahun. Mereka ini terdiri daripada pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi dan sebahagiannya sudah memasuki alam pekerjaan.

(Kadar maklum balas adalah 100 peratus – bermakna semua remaja yang didekati bersetuju untuk menyertai kajian ini. Peratusan kadar maklum balas penting bagi menentukan kajian ini sahih dan boleh digunakan)

Responden ini ditemui i-Kon dalam kajian yang dijalankan di pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam dan kedai makan.

Penemuan kami, 31 peratus (31 remaja) mengaku sudah melakukan seks dan tujuh daripadanya (23 peratus daripada 31 remaja) melakukan perbuatan itu ketika belum mencecah usia 15 tahun!

Mengejutkan? Sudah pasti ya kerana di kala usia masih mentah dan kehidupan seharusnya ditumpukan untuk mencapai cita-cita, remaja ini `hanyut’ melayan nafsu atas alasan ingin tahu dan cinta.

Lebih membimbangkan apabila sebahagian besar pelajar iaitu 65 peratus membenarkan pengguguran dilakukan jika mengandung anak luar nikah.

Sikap liberal remaja ini sememangnya `menggerunkan’ dan sewajarnya membuka mata pihak berkaitan untuk melakukan sesuatu kerana ia akan mendorong kepada amalan tidak sihat.

Walaupun kajian ini tidak mewakili keseluruhan remaja di negara ini, ia setidak-tidaknya dapat memberi gambaran mengenai pandangan remaja mengenai isu seks, pemahaman dan tahap kesedaran berhubungnya.

Penemuan lain kajian i-Kon:

57 peratus remaja mengaku pernah bercium, terutama dengan teman istimewa;

69 peratus remaja pernah berpeluk dengan teman istimewa;

80 peratus remaja berpegang tangan dengan teman istimewa;

55 peratus remaja pernah menonton filem lucah;

43 peratus remaja pernah melayari laman web lucah;

Majoriti remaja iaitu 81 peratus mendapatkan maklumat mengenai seks daripada buku dan majalah (bukan bahan bacaan lucah);

72 peratus remaja mendapat maklumat seks daripada rakan;

Kira-kira 30 peratus ke 40 peratus remaja mendapat pengetahuan mengenai seks daripada video, majalah dan laman web lucah;

59 peratus remaja bersetuju penggunaan kondom adalah antara kaedah perancangan keluarga yang berkesan;

Kira-kira 90 peratus remaja menganggap hubungan seks luar nikah sebagai tidak baik dan boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara tersebut.

 

Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa’yi Wal Harakah yang disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang.

 

1. tidak sembahyang atau solat.

2. tidak membaca Bismillah ketika hendak makan.

3. makan atas pinggan yang terbalik.

4. memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.

5. menganggap ringan apa-apa yang terjatuh dalam hidangan makanan.

6. berwuduk’ di tempat buang air besar atau air kecil.

7. suka bersandar pada pintu rumah.

8. suka duduk di atas tangga.

9. membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.

10. membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.

11. tidak membersihkan rumah.

12. membuang sampah atau menyapu dengan kain.

13. suka membersihkan rumah pada waktu malam.

14. suka tidur di atas muka.

15. membakar kulit bawang.

16. menjahit baju yang sedang dipakai.

17. mengelap muka dengan baju.

18. berdiri sambil bercekak pinggang.

19. tidur tidak memakai baju.

20. makan sebelum mandi hadas.

21. tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh

22. pergi ke pasar sebelum matahari terbit.

23. lambat pulang dari masjid.

24. doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.

25. kebiasaan tidak menutup makanan yang dihidangkan.

26. suka memadam pelita dengan nafas.

27. membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.

28. membasuh kaki dengan tangan kanan.

29. membuang air kecil pada air yang mengalir.

30. memakai seluar sambil berdiri.

31. memakai serban sambil duduk.

32. mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.

33. makan dengan menggunakan dua jari.

34. berjalan di antara kambing.

35. berjalan di antara dua perempuan.

36. suka mempermainkan janggut.

37. suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.

38. meletakkan tapak tangan pada hidung.

39. suka menggigit kuku dengan mulut.

40. mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.

41. mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.

42. menguap ketika solat.

43. meludah di tempat buang air besar atau air kecil.

Satu cara mudah untuk mengetuk pintu hati dan minda kita ialah dengan merenung dan bertafakur- melihat peristiwa atau apa saja ciptaan Allah yang ada di sekeliling kita. Melihat, merenung dan berfikir. Berguru dengan alam ciptaan Allah yang maha luas ini. Di dalam Al-Quran pun ada banyak ayat yang mengulang bertanya; “Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” Atau dalam ayat yang lain… “Terdapat tanda-tanda (ayat) bagi orang-orang yang berakal”.  

Mari kita bersama nikmati beberapa hidangan ilmu dan iktibar yang disajikan oleh Pak Ngah (penulis ruangan Belajar Dengan Alam).          

Melihat air yang mengalir; air mengalir ke tempat yang lebih rendah. Iktibarnya, ilmu pengetahuan hanya mudah masuk ke dalam hati yang merendah diri. Dan lebih rendah sesuatu tempat itu, lebih banyakla ia menakung air. Begitu jugalah dengan perumpamaan aliran ilmu.         

Lebah. Lebah merupakan haiwan kecil yang tidak pernah hidup sendirian melainkan sentiasa berkumpulan. Hidupnya saling bekerjasama dan bantu-membantu. Ini bermakna, mereka saling memberi sumbangan yang berguna untuk manfaat bersama.          

Tempat persinggahan lebah. Lebah hinggap di atas bugna-bunga, pucuk-pucuk daun atau putik-putik buah. Pendek kata, lebah hinggap di tempat yang bersih, segar dan harum. Singgah di tempat yang baik. Kemudian bawa kebaikan itu merata tempat.          

Aliran sungai yang mengalir. Aliran air sungai itu umpama aliran masa. Tidak akan berhenti atau berpatah semula ke belakang. Jika kita mengisinya dengan kebaikan, kebaikan itu akan tersimpan sebagai pahala. Sebaliknya, jika diisi dengan kejahatan, ia akan kekal sebagai dosa melainkan kita memohon taubat dari Allah.        

   Hidupan di laut. Walaupun air laut itu masin semasin-masinnya..tapi anehnya isi atau daging ikan tetap tidak masin. Ertinya, ikan tetap mengekalkan jati dirinya yang tetap tawar walaupun dikelilingi oleh air laut yang sangat masin. Oleh itu, janganlah kita sesekali dicorakkan oleh suasana sekeiranya suasana yang kita hadapi itu negatif.          

Cicak yang merayap di dinding. Cicak memakan serangga yang berterbangan, sedangkan cicak tidak boleh terbang. Cicak hanya menggunakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki.  Pengajarannya, cicak tidak pernah ambil pusing tentang kekurangannya. Sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Jadi, kita sebagai manusia yang berakal, berilah tumpuan pada keuatan kita, kelebihan atau kemahiran yang kita miliki. Kelemahan atau kekurangan janganlah dijadikan alas an tidak boleh maju. Sebaliknya, cipta kelebihan menggunakan kekurangan kita itu. “ Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijksanaan yang berbeza”.  

Terlalu banyak lagi perumpamaan dan permisalan yang boleh kita pelajari daripada apa yang kita lalui sehairan. Memang jiwa kita memerlukan ilmu dan pengetahuan serta pengajaran seperti ini; dikutip dari alam Allah yang maha luas. Oleh itu, janganlah kita persiakan kebaikan dan manfaat itu.  

Ya Allah kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkasu, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Al-Imran: 191) 

Diedit semula dari Majalah Anis, Ogos 2007, p. 6-7.

Cinta – Kita memang mengharapkan dia menjadi milik kita. Segala apa yang kita buat, kalau buleh nak dia tahu.. dan kita sebuleh mungkin tak nak sakitkan hati dia. kita akan sentiasa berfikir tentang dirinya. (dalam erti lain : cinta di tujukan kepada seseorang yg kita selalu ingat dan mimpi.. Tanpanya kita akan rasa sunyi dan kita cintakan sepenuh jiwa dengan hati yg ikhlas kepadanya walaupun dia buat tak tau je) 

Sayang – Kita memerlukan dia di masa kita mahukan seseorang untuk berkongsi rahsia dan kisah duka kita. selalunya kita akan sayangkan seseorang yang menjadi TELINGA kepada masalah kita. (dalam erti lain : sayang di tujukan kepada seseorang yang boleh membuangkan masa dia untuk mendengar dan memeningkan kepalanya dgn masalah kita dan kita jugak boleh menyakitkan hati dia kerana kita bukannya cinta kepadanya) 

Suka – Kita sukakan dia kerana dia kelakar. Dia happy-go-lucky. Bila bersama dengan dia, kita rasa nak tergelak sampai nak pecah perut. Tapi, kita taklah rindu sangat kat dia bila tak berjumpa seminggu…(dalam erti lain : suka di tujukan kepada seseorang yang boleh menjadi pelawak kepada kita. Kita akan suruh dia diam sekirangnya keng kita dah nak pecah…) 

Minat – Apa sesuatu pada dirinya yang menarik kita untuk mendekatinya.(dalam erti lain : minat ditujukan kepada seseorang yang ada sifat, peribadi atau barang yang kita mahukan… ) Tetapi kita kena ingat bahawa tanpa minat , suka dan sayang kita tidak akan CINTA pada seseorang itu… 

ADA banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan dalam hubungan anda sebagai pasangan kekasih kerana ia akan mempengaruhi masa depan kehidupan anda bersama.

Perkahwinan bukan sekadar berpandukan kepada cinta semata-mata. Jika cinta yang dijadikan asas, besar kemungkinan perkahwinan yang didirikan berhadapan dengan pelbagai masalah.Pandangan keluarga, perancangan masa depan, persamaan dan perbezaan antara anda dan teman perlu dibincangkan bersama sebelum anda mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.Bak kata orang, perkahwinan bukan sekadar anda dan pasangan, sebaliknya ia membabitkan banyak pihak dan isu. Ketika bercinta semuanya indah, tetapi apabila sudah melangkah ke alam perkahwinan barulah tampak kepincangan masing-masing.Tanpa perbincangan, anda akan mengalami pelbagai masalah kelak, justeru tetapkan hala tuju anda dan pasangan sebelum mengambil langkah lebih serius. Persoalan berikut mungkin boleh dijadikan pertimbangan.

Pengalaman ketika kecil ketika bersama keluarga.

Apakah pengalaman duka masa kanak-kanak akan menjejaskan perkahwinan anda?

Kasih sayang daripada ibu bapa.

Apakah ibu bapa anda mesra, mengambil berat dan penyayang atau adakah mereka sering berselisih faham?

Latar belakang agama. Adakah anda seorang yang beriman dan bertakwa?

Pendidikan.

Apakah anda dan pasangan memiliki taraf pendidikan yang sama? Apakah anda berasa tergugat jika pasangan anda memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi? Apakah anda bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran?

Latar belakang budaya dan sosioekonomi.

Bandingkan latar belakang masing-masing – lebih besar perbezaan antaranya maka lebih besarlah kemungkinan wujudnya masalah berkaitan adat resam, kehidupan berkeluarga, harapan tradisi dan sebagainya.

Kepintaran.

Apakah anda lebih pintar daripada pasangan anda atau sebaliknya? Apakah ini mungkin mencetuskan rasa iri hati?

Hubungan dengan mentua.

Apakah pandangan saudara mara anda mengenai calon pilihan anda dan bagaimana hubungan anda dengan mentua?

Sikap dari segi kewangan.

Apakah anda akan berbincang mengenai cara menguruskan kewangan selepas berkahwin?

Bilangan anak.

Apakah anda dan pasangan bercanggah pendapat mengenai bilangan anak dan perancangan keluarga? Apakah anda berbincang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan cara membesarkan anak?

Masalah seksual.

Apakah perasaan anda dan pasangan terhadap kemampuan seksual masing-masing? Anda berdua patut menjalani pemeriksaan fizikal dan khidmat kaunseling bagi memastikan tiada masalah seksual.

Pemilih tempat tinggal.

Di manakah anda berdua akan tinggal selepas berkahwin – di rumah sendiri atau mentua. Jika memilih untuk tinggal di rumah mentua dapatkah anda menyesuaikan diri dengan mereka?

Anda Bersedia Untuk Menjadi Ibu Bapa?

Dalam perkahwinan, pasangan biasanya akan merancang untuk mempunyai anak. Perkara ini wajar dibincangkan ketika anda merancang untuk berkahwin. Ada banyak persoalan yang perlu dijawab terlebih dulu. Adakah anda benar-benar mahukan anak? Berapa ramai? Bila? Anda dan pasangan wajar membincangkan tahap persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, juga sama ada anak akan melengkapi kehidupan berkeluarga serta beban kewangan yang bakal dihadapi.

Panduan berumah tangga Smartstart Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

Sumber: http://intim.wordpress.com/2007/12/13/persoalan-sebelum-berkahwin/ 

Add to Technorati Favorites

Kalendar

September 2017
M T W T F S S
« Jan    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Sabda Rasulullah s.a.w

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berfirman: ” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Riwayat Bukhari & Muslim

Categories

Top Clicks

  • None

Pengunjung Terkini

Recent Readers

View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile
My Popularity

Bilangan Pembaca

  • 163,719 orang pembaca

Khazanah