~ Sharing Is Caring ~

Archive for the ‘Kisah Tauladan’ Category

Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah terdapat satu linkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup. Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya. Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil pungutan mangga yang diperolehi.

Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana ‘galah pendek’ yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.

Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.

Setelah selesai memungut semua mangga-mangga maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar memperoleh tiga bakul.

Pemilik kebun memberikan pemuda pertama upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan. Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda kedua berbanding pemuda pertama.

PEMUDA KETIGA YANG KALAH

Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.

Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dasyat jika diletakkan Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.

Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan selepas mati dan bukan di alam ini.

Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam selepas kematian perlu untuk itu.

Bicara tentang fungsi.

Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. [az-Zariyat 51:56]

Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya. Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.‘Passing mark’nya pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya. Semua telah ‘dibocorkan’ oleh Allah Subhana wa Ta’ala di dalam firmannya:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah 2:155-156]

Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa, segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan ‘markah’ sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan, harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita, tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!

Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia. Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]

Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak sihat mampu menggapainya.

BAGAIMANA IBADAT SI MISKIN MAMPU SETANDING SI KAYA?

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, katanya:

Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka bekata: “Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan kekal abadi.” Tanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam: “Kenapa begitu?” Jawab mereka, “Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak (mampu) memerdekakan hamba. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat memperoleh pahala orang-orang terdahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? dan tidak ada yang lebih utama daripada kamu melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu” Mereka menjawab: “Baiklah, wahai Rasulullah.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas solat 33 kali.” Berkata Abu Shalih: Orang-orang miskin dari kaum Muhajirin kembali kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan, maka mereka melakukan hal yang serupa.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” [Sahih Muslim – no: 595]

Dalam menghuraikan maksud dan faedah-faedah hadis di atas, ulamak memberikan pelbagai interpretasi. Antara interpretasinya adalah bahawa sebenarnya setiap pihak di dalam hadis tersebut mempunyai kelebihan. Yang kaya dengan kelebihan amalan yang disebutkan di atas, ibadah bersifat harta dan tentu sekali disertakan dengan ujian kesyukuran. Yang miskin pula dengan kelebihan menjadi sebab terdedahnya amalan penuh berkat tersebut kerana mereka bertanya. Bukankah bagi mereka yang memulakan kebaikan, dia memperoleh pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mencontohinya? Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. [Sahih Muslim – no: 1017]

Dan tentu sekali kemiskinan mereka itu disertai dengan ujian kesabaran terhadap kesukaran hidup. Kedua kelompok mempunyai kelebihan dan ujian mereka tersendiri.

Begitulah Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa adil. Setiap manusia tidak kira apapun keadaan mereka sentiasa ada ruang untuk mencapai redha-Nya dan memperoleh ganjaran terbaik buat akhirat.

Kita bukanlah dizalimi sekiranya dihinggapi penyakit kronik, miskin, kurang upaya dan sebagainya. Tetapi sebenarnya diuji. Dan dalam ujian berat itu ada ruang yang boleh kita gunakan untuk menggapai redha Tuhan. Yang mungkin ruang tersebut tak mampu ditemui orang yang tidak ditimpa masalah seperti kita.

alFaisal Cyberjaya

24 Disember 2007 / 14 Zulhijjah 1428

7.30 am

http://demipena.blogspot.com/

Tags:

Dipetik dari sebuah Yahoogroups

=====================

saya dapat posting dari kawan. saya rasa kawan saya ni bukanlah “saya” dalam cerita dibawah.

sekadar berkongsi …. dari email yang diterima …. maklumlaaa musim orang naik pelamin skarang nih…

MUSIM orang kahwin, tentulah cerita orang kahwin juga yang mendapat tempat. Sana sini majlis perkahwinan berlangsung. Yang kecil, yang besar, yang glamor dan yang sunyi sepi. Yang penting, impian pasangan untuk hidup bersama telah tercapai. Dan pastinya cerita yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini juga berkaitan dengan majlis kahwin. Apa tidaknya, ramai yang menelefon ingin berkongsi pandangan mengenai majlis perkahwinan sekarang.

Setelah meneliti dan mencari yang terbaik saya memilih untuk berkongsi pendapat Datin W. Perbualan kami yang mengambil masa selama hampir sejam menceritakan segala-galanya tentang perbezaan kahwin orang miskin dan kahwin orang kaya.

“Miskin yang dimaksudkan adalah orang kurang berada yang hanya membuat kenduri kahwin di rumah, tidak di dewan atau hotel bertaraf lima bintang,” demikian Datin W memulakan bicaranya.

Datin W telah menghadiri sembilan majlis perkahwinan sepanjang cuti sekolah baru-baru ini. Ada banyak beza, katanya. Lalu dia namakan majlis itu kahwin orang miskin dan kahwin orang kaya.

“Lima daripada majlis tersebut diadakan di hotel dan dewan yang bertaraf lima bintang sementara empat lagi di rumah. Saya pergi ke semua majlis itu bagi memenuhi undangan kawan-kawan lama dan rakan sepejabat. Di tempat bertaraf lima bintang memang menarik dan serba serbi canggih. Makanan terhidang depan mata, siap ada napkin, bunga terletak indah di tengah meja, makanan diletakkan dalam bekas cantik. Siap ada kopi, teh dan pemanis mulut. Kerusi juga beriben dan beralas indah. Sayangnya, letih menunggu berjam-jam sehinggakan perut mula berjoget kerana lapar,” kata Datin W.

Menurut Datin W, sudahlah terpaksa datang awal untuk mencari parkir dan berbaris untuk masuk ke dewan. Kemudian macam orang bodoh, melilau mencari kerusi yang entah di mana letaknya. Kalau tempat duduk bebas lebih mudah, tapi yang ada nombor parahlah. Terpaksa pula berlegar-legar mencari tempat duduk. Kalau nasib baik ada penyambut tetamu cekap, lekaslah dapat duduk. Jika tidak macam kerang busuk terhegeh-hegeh mencari kerusi.

Pernah melalui pengalaman yang sama, saya mencelah dengan berkata, biasanya majlis yang mewah itu ada penyambut tetamu. Bagaimana boleh jadi macam itu?

“Memang ada penyambut tetamu, tetapi kalau sudah letak yang comel lote tapi tak tahu buat kerja susah juga. Pakai cantik-cantik, berbaris tepi pintu dan asyik tersenyum kepada tetamu. Bukan hendak tolong tunjuk tempat, tapi sibuk bergambar dan bersalam sambil berbalas-balas gesel pipi tanpa mengira lelaki perempuan,” tambah Datin W.

Memang betul, saya juga pernah melihat senario ini dengan mata sendiri. Perihal bukan muhrim tidak kira kaum dan agama berbalas ciuman di pipi pada majlis orang kahwin sudah menjadi trend masyarakat kelas ‘atasan’ sejak akhir-akhir ini.

Tidak berhenti di situ sahaja, Datin W turut menegur sikap segelintir tetamu yang ada pangkat tetapi tidak tahu menghormati tetamu lain.

“Saya malu dan kecewa dengan sikap orang-orang ini. Ada jawatan tinggi, ada pangkat dan pakai lawa tapi otak tidak boleh berfikir pentingkan diri sahaja,” suaranya agak meninggi.

Mendengar suaranya yang agak tinggi, saya bertanya kenapa.

“Bayangkan kita sudah berbaris panjang, tiba-tiba di depan ada satu hamba Allah berpangkat jumpa kawan dia sepasang suami isteri, bersalam kemudian disuruh masuk barisan di hadapannya. “Kemudian datang seorang lagi, juga disuruh masuk, sehingga genap lima pasangan kawan mereka memotong Q. Sakitnya hati kita! Sekurang-kurangnya hormatkan tetamu lain. Ini tidak, mentang-mentang mereka ada nama, orang kenal, boleh buat sesuka hati,” tambah Datin W.

Di dalam dewan pula, kata Datin W, suasananya memang cantik. Pokok bunga di sana sini, layar pun ada untuk tetamu yang duduk jauh dari pelamin. Tapi sayangnya dek kerana pokok-pokok bunga yang tinggi menjulang macam dalam hutan, pandangan sebahagian tetamu terlindung. Yang kelihatan hanya hujung kepala pengantin, tiang pelamin dan kepala tetamu lain.

Saya tersenyum sendiri. Mati akal saya untuk menjawab kata-kata Datin W. Lalu saya meminta pendapatnya terhadap apa yang dikatakannya sebagai kenduri di rumah orang miskin.

“Ini yang saya hendak cerita. Banyak bezanya macam langit dengan bumi. Saya pergi empat buah rumah teman sekerja saya yang menerima menantu. Makanan dihidang secara bufet. Ada yang katering, ada yang masih gotong royong memasak. Paling kurang ada lima enam jenis lauk dan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Dua daripada rumah itu siap disediakan teh tarik, kopi O dan bubur kacang.

“Tetamu boleh enjoy makan sambil sembang-sembang tengok pengantin bersanding. Selepas bersanding, pengantin dan ibu bapa datang bawah khemah menyapa tetamu sambil mengucapkan terima kasih dan bersalaman. Tidak payah berbaris, tunggu dua jam baru hendak makan. Boleh ambil sendiri dan makan sepuas hati, tiada siapa melarang,” jelasnya.

Berbeza dengan majlis orang kaya, pengantin dan tuan rumah tunggu depan pintu, habis tetamu kenamaan beredar, mereka pun lesap. Tinggal tetamu terkapai-kapai mencari jalan pulang.

Kali ini saya bersetuju dengan Datin W kerana apa yang diucapkannya benar belaka. Lebih selesa menghadiri majlis kahwin orang miskin daripada ke majlis orang kaya. Kalau ke rumah orang biasa, letak sahaja kereta di mana, tepi jalan, padang atau kawasan lapang, asal jangan halang laluan orang. Tapi kalau di tempat lima bintang, berpusing lima enam kali belum nampak parkir kosong, kira pi kira mai, bayarannya sama banyak dengan makan nasi kandar di restoran mamak.

Dalam berfikir saya dikejutkan dengan suara Datin W yang masih bersemangat untuk bercerita lagi tentang majlis kahwin orang kaya.

“Bukan setakat itu sahaja, tetamu yang datang juga alahai memang berfesyen habis, kebanyakannya berfesyen macam hendak ke festival filem. Seksi dan menjolok mata pun ada, nak glamor punya pasal, tidak tahu beza majlis,” tambahnya.

Kata-kata Datin W mengingatkan saya kepada satu kumpulan anak-anak remaja yang menghadiri majlis kahwin dengan menaiki kereta Mercedes. Empat orang dalam sebuah kereta, ertinya dua pasang. Cantik, tampan dan segak. Mereka memakai baju Melayu lengkap bersamping sementara anak daranya pula memakai kebaya lis jarang dengan tiub bertutup bahagian dada dan perut sahaja. Padanannya kain batik diikat pario sehingga ke paras peha. Bayangkan!

“Apakah pesanan kepada orang di luar sana yang mungkin keliru dengan pendapat Datin?” soal saya yang cuba membakar semangatnya.

“Pesanan saya, jangan rasa rendah diri jika tidak dijemput ke majlis kahwin orang kaya, jangan rasa terhina bila asyik ke majlis orang miskin. Kaya atau miskin bukan ukurannya. Yang penting jemputan tuan rumah dipenuhi.”

“Apa pun,” kata Datin W, “kita semua sama di sisi Tuhan. Yang berbeza hanyalah pangkat, darjat dan kemewahan yang juga dianugerahkan Tuhan. Jangan sesekali lupa.”

Saya hargai pandangan Datin W yang berpengalaman luas dalam perkara ini. Jika direnung semula, betul juga katanya. Majlis perkahwinan juga kini semakin sengit. Persaingan makin hebat. Seperti juga Datin W, saya turut mengalami pengalaman yang berharga. Buat pertama kali dalam sejarah, saya dan teman-teman pulang dengan tangan kosong daripada majlis perkahwinan orang kaya baru-baru ini sedangkan ramai tetamu glamor membawa dua tiga cenderamata setiap seorang.

Bezanya, pada hari yang sama, pada majlis kahwin orang miskin yang kami hadiri, kami dibekalkan buah tangan, sebuah beg kertas penuh dengan kuih tradisional, gula-gula, kek dan sapu tangan dan bunga telur yang cantik. Apa sudah jadi? Ada diskriminasi juga kah? Apa pun bukan buah tangan yang jadi impian, tetapi menghargai jemputan. Pada masa yang sama seronok melihat lakonan manusia di pentas dunia!

Menutup kata, terimalah serangkap pantun daripada saya.

Anggerik rimba kembang serumpun

Kiambang di tasik jadi pilihan

Tercalar adat sopan dan santun

Ambil iktibar jadikan teladan.

Dipetik dari http://haziefa.wordpress.com/2008/02/07/pencuri-impian/#comment-15

Di sebuah kota, ada seorang gadis muda yang sangat suka menari. Kepandaiannya menari sangat terserlah dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, sehinggakan dia seringkali menjadi juara dalam pelbagai pertandingan yang diadakan. Dia berfikir, dengan bakat yang dimilikinya saat ini, suatu hari nanti apabila dewasa, dia ingin menjadi penari bertaraf dunia. Dia membayangkan dirinya menari di Russia, China, Amerika, Jepun, serta ditonton oleh ribuan penonton yang memberi tepukan gemuruh kepadanya.

Suatu hari, kotanya dikunjungi seorang pakar tari yang berasal dari luar negara. Pakar ini sangatlah hebat. Dari tangan dinginnya telah banyak dilahirkan penari-penari kelas dunia. Gadis muda ini ingin sekali menari dan menunjukkan kebolehannya di depan sang pakar tersebut, malah jika boleh memperoleh kesempatan menjadi muridnya.

Akhirnya kesempatan itu datang juga. Si gadis muda berjaya menemui sang pakar di belakang panggung, seusai sebuah persembahan tari. Si gadis muda bertanya: “Tuan, saya ingin sekali menjadi penari kelas dunia. Apakah tuan punya waktu sejenak, untuk menilai saya menari? Saya ingin tahu pendapat tuan tentang tarian saya”. “Okey, menarilah di depan saya selama 10 minit”, jawab sang pakar.

Belum lagi 10 minit berlalu, sang pakar berdiri dari kerusinya, lalu berlalu meninggalkan si gadis muda begitu saja, tanpa mengucapkan sepatah kata apa pun.

Betapa hancur si gadis muda melihat sikap sang pakar. Si gadis terus berlari keluar. Pulang ke rumah, dia menangis tersedu-sedu. Dia menjadi benci terhadap dirinya sendiri. Ternyata tarian yang selama ini dia bangga-banggakan tidak ada maknanya di hadapan sang pakar. Kemudian dia ambil kasut tarinya, lalu dilemparkan ke dalam gudang. Sejak saat itu, dia bersumpah tidak akan menari lagi.

Puluhan tahun berlalu. Sang gadis muda kini telah menjadi ibu dengan tiga orang anak. Suaminya telah meninggal. Dan untuk menyara keluarganya, dia bekerja menjadi pelayan di sebuah kedai di sudut jalan.

Suatu hari, ada sebuah persembahan tari yang diadakan di kota itu. Nampak sang pakar berada di antara para menari muda di belakang panggung. Sang pakar nampak tua, dengan rambutnya yang sudah putih. Si ibu muda dengan tiga anaknya juga datang ke persembahan tari tersebut. Selesai acara, ibu ini membawa ketiga anaknya ke belakang panggung, mencari sang pakar, dan memperkenalkan ketiga anaknya kepada sang pakar.

Sang pakar masih mengenali ibu muda ini, dan kemudian mereka bercerita secara akrab. Si ibu bertanya, “Tuan, ada satu pertanyaan yang tersimpan di hati saya iaitu tentang penampilan saya sewaktu menari di hadapan tuan bertahun-tahun yang silam. Sebegitu terukkah penampilan saya saat itu, sehingga tuan terus pergi meninggalkan saya begitu saja, tanpa berkata sepatah pun?”

“Oh ya, saya ingat peristiwa itu. Terus terang, saya belum pernah melihat tarian seindah yang kamu lakukan waktu itu. Saya rasa kamu akan menjadi penari kelas dunia. Saya tidak mengerti mengapa kamu tiba-tiba berhenti dari dunia tari”, jawab sang pakar.

Si ibu muda sangat terkejut mendengar jawapan sang pakar. “Ini tidak adil”, seru si ibu muda. “Sikap tuan telah mencuri semua impian saya. Kalau memang tarian saya bagus, mengapa tuan meninggalkan saya begitu saja ketika saya baru menari beberapa minit. Tuan seharusnya memuji saya, dan bukan mengacuhkan saya begitu saja. Jika tidak, pasti sekarang saya sudah menjadi penari bertaraf dunia. Bukan hanya menjadi pembantu kedai.”

Si pakar menjawab lagi dengan tenang “Tidak …. tidak, saya rasa saya telah berbuat yang sepatutnya. Anda tidak semestinya minum anggur satu barel untuk membuktikan anggur itu enak. Demikian juga saya. Saya tidak harus menonton anda 10 minit untuk membuktikan tarian anda bagus. Malam itu saya sangat lelah setelah pertunjukan pentas. Maka sejenak saya tinggalkan anda, untuk mengambil kad nama saya, dan berharap anda mahu menghubungi saya lagi keesokan hari. Tapi anda sudah pergi ketika saya keluar. Dan satu hal yang perlu anda fahami, bahawa anda sepatutnya fokus pada impian anda, bukan pada ucapan atau tindakan saya.“

“Dan pujian? Kamu mengharapkan pujian? Ah, waktu itu kamu sedang belajar. Pujian itu seperti pedang bermata dua. Ada kalanya memotivasikanmu, namun boleh juga melemahkanmu. Dan faktanya saya melihat bahawa sebahagian besar pujian yang diberikan pada saat seseorang sedang belajar, hanya akan membuat dirinya puas dan pertumbuhannya berhenti. Oleh itu, saya lebih suka mengacuhkanmu, agar hal itu dapat membuatmu memajukan diri lebih cepat lagi. Lagipun, pujian itu seharusnya datang dari keinginan saya sendiri. Anda tidak sewajarnya meminta pujian dari orang lain.“

“Anda lihat, ini sebenarnya hanyalah masalah remeh. Seandainya anda pada waktu itu tidak menghiraukan apa yang terjadi dan tetap menari, mungkin hari ini anda sudah menjadi penari kelas dunia.”

Mungkin anda sakit hati pada waktu itu, tapi sakit hati anda akan cepat hilang setelah anda berlatih kembali. Tapi sakit hati kerana penyesalan anda hari ini tidak mungkin hilang selama-lamanya.”

Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa isteri ke ‘Mahkota Medical Centre’, dia mengadu kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya lenguh-lenguh. Saya tanya dia”mengandung kot?” Dia kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya  bawak dia jumpa doktor dan ternyata…. isteri saya mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa depan akan pastinya berubah lagi.

Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning sickness yang teruk sekali bagi isteri saya. Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa. Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak. Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya. Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu, sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran sehingga isteri saya terlelap. Memang kebiasaan sebelum mengandung pun saya akan membaca Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur sehinggalah dia terlelap.

Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula dengan kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab ‘Kasyaful Mahjub’. Mungkin ada pembaca yang berkata saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada kemudian hari adalah diluar bidang kuasa saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.

Saya bercerita kepadanya tentang Allah, zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali bercerita kepada diri saya. Ada yang menghantar email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya (subconscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar). 

2. Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun – ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al-fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan berselawat, banyak bersabar Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”. Kalau didengar pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logic akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.

Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa pula kata mereka nanti.

Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun yenyak dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin disisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang dan bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.

Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim piatu yang ditinggalkan ditengah padang rumput,sehingga sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu dibohongi yang teddy bear adalah’mama’nya seperti saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya kuncikan pintu dan ke kamar tidur. Isteri saya telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah ‘bintang timur’ dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan muncul ‘bintang timur kecil’ dalam hidup saya

Sesaorang menemukan kepompong seekor kupu kupu.. suatu hari lubang kecil muncul.. dia duduk mengamati dalam beberapa jam calun kupu kupu itu.. ketika dia berjuang dengan memaksa dirinya melewati lubang kecil itu.. kemudian kupu kupu itu berhenti membuat kemajuan.. kelihatannya dia telah berusaha semampunya dan dia tidak bisa lebih jauh lagi.. akhirnya orang tersebut memutuskan untuk membantunya.. dia mengambil sebuah gunting dan memotong sisa kengkangan dari kepompong itu.

 

Kupu kupu tersebut keluar dengan mudahnya.. namun dia mempunyai tubuh gembung dan kecil.. sayap sayap mengkerut.. orang tersebut terus mangamatinya karena dia mengharap bahawa pada suatu saat sayap sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menopang tubuhnya.. yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalan waktu.. semuanya takpernah terjadi.

 

Kenyataannya.. kupu kupu itu menghabiskan sisa hidupnya merangkak disekitarnya dengan tubuh gembung dan sayap sayap yang mengkerut.. dia tidak pernah bisa terbang.

 

Yang tidak dimengerti dari kebaikan dan ketergesaan orang tersebut adalah.. bahawa kepompong yang menghambat dan perjuangan yang dibutuhkan kupu kupu untuk melewati lubang kecil adalah.. jalan Tuhan untuk memaksa cairan dari tubuh kupu kupu itu kedalam sayap sayapnya sedemikian.. sehingga dia akan siap terbang begitu dia memperolih kebebasan dari kepompong tersebut.

 

Kadang kadang perjuangan adalah suatu yang kita perlukan dalam hidup kita.. jika Tuhan membiarkan kita hidup tanpa hambatan perjuangan.. itu mungkin justeru akan melumpuhkan kita.. kita mungkin tidak sekuat yang semestinya yang dibutuhkan untuk menopang cita cita dan harapan yang kita mintakan.

 

Kita mungkin tidak akan pernah dapat ‘terbang’ sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang…

 

Kita memohon kekuatan dan Tuhan memberi kita kesulitan kesulitan untuk membuat kita tegar.

 

Kita memohon kebijakan dan Tuhan memberi kita berbagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana.

 

Kita memohon kemakmuran dan Tuhan memberi kita otak dan tenaga untuk dipergunakan sepenuhnya dalam mencapai kemakmuran.

 

Kita memohon keteguhan hati dan Tuhan memberi bencana dan bahaya untuk diatasi.

 

Kita memohon cinta dan Tuhan memberi kita orang orang bermasaalah untuk diselamatkan dan dicintai.

 

Kita memohon kemurahan kebaikan hati dan Tuhan memberi kita kesempatan kesempatan yang sileh berganti.. begitulah cara Tuhan membimbing kita.

 

Apakah jika saya tidak memperolih yang saya inginkan.. bererti saya tidak mendapatkan segala yang saya butuhkan?..

 

Kadang Tuhan tidak memberi yang kita minta.. tapi dengan pasti Tuhan memberikan yang terbaik untuk kita.. kebanyakan kita tidak mengerti mengenal.. bahkan tidak mahu menerima rencana Tuhan.. padahal justeru itulah yang terbaik untuk kita..

10 Pesanan Lukmanul Hakim Kepada Anaknya

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya:

“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” QS. 31:13

Tiada kata seindah doa dan nasihat yang berguna, Lukmanul Hakim adalah seorang hamba pilihan Allah, yang dianugerahi banyak hikmah dan rahsia kehidupan. Pada anaknya Lukmanul Hakim memberi nasihat, yang sarat makna dan rahsia kehidupan, semuga jadi pegangan.

1. Wahai Anakku yang ku sayangi…

Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah SWT.

2. Wahai anakku yang ku sayangi…

Sesungguhnya orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat perjuangan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar telah menerima kemuliaaan dari Allah.

3. Wahai anakku yang ku sayangi…

Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia bertawadhu’ kepadaNya. Dia akan lebih taat kepada Allah dan selalu berusaha menghindari maksiat.

4. Wahai anakku yang ku sayangi…

Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.

5. Wahai anakku yang ku sayangi…

Jauhkanlah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Wahai anakku yang ku sayangi…

Selalu berharap kepada Allah tentang segala sesuatu yang menyebabkan dirimu tidak derhaka kepada Allah. Takutlah kepadaNya dengan sebenar takut, tentulah engkau akan terlepas sifat putus asa dari rahmat Allah SWT

7. Wahai anakku yang ku sayangi…

Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan senantiasa melamunkan perkara yang tidak benar, ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah dari mengembalikan nama baik atau kehormatan.

8. Wahai anakku yang ku sayangi…

Engkau telah merasakan betapa berat memindahkan batu itu dan besi yang amat berat tetapi akan berat lagi dari semua itu, adalah apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.

9. Wahai anakku yang ku sayangi…

Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan seseorang yang bodoh menjadi utusan. Jika tidak ada orang yang cerdas dan pintar, sebaiknya dirimu sendiri yang menjadi utusan.

10. Wahai anakku yang ku sayangi…

Makanlah makanan bersama orang-orang yang bertakwa dan musyawarahkanlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat kepadanya.

Suami saya adalah serorang jurutera komputer, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya ketika bersandar dibahunya.

 

3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih… lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya.

 

Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.

 

Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian.

 

“Mengapa?”Dia bertanya dengan nada terkejut.

 

“Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan.”

 

Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

 

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya. “Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?”

 

Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

 

“Siti ada 1 soalan, kalau Abang temui jawapannya didalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada ditebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?”

 

Dia termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya esok.”

 

Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

 

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menenui selembar kertas dengan coretan tangannya dibawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan…

 

‘Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya.”

 

Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.

 

“Siti boleh mengetik dikomputer dan selalu mengusik program didalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut.”

 

“Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang.”

 

“Siti suka jalan-jalan di shopping complexs tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah.”

 

“Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu.”

 

“Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi ‘pelik’. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti dirumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami.”

 

“Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu.”

 

“Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”

 

“Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi kematian Abang.”

 

“Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti.”

 

“Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti.”

 

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lamgi.

 

“Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puashati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti.”

 

“Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku… biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang- barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia.”

 

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.

 

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam ‘kewujudan’ yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam ‘kewujudan’ yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.


Add to Technorati Favorites

Antara yang TOP

Kalendar

July 2017
M T W T F S S
« Jan    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Sabda Rasulullah s.a.w

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berfirman: ” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Riwayat Bukhari & Muslim

Categories

Top Clicks

  • None

Pengunjung Terkini

Recent Readers

View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile View My Profile
My Popularity

Bilangan Pembaca

  • 163,339 orang pembaca

Khazanah